Beli dua nasi campur berharga RM38 di Kelantan, terkejut pelanggan

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP Kelantan akan terus mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 ke atas kesalahan premis yang gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Sepasukan pegawai KPDNHEP Kelantan bertindak demikian selepas menerima aduan daripada seorang pengadu yang membeli dua nasi bungkus dengan harga RM38 di sebuah kedai menjual nasi di sini tiga hari lalu.

Menurut Pengarah KPDHEP Kelantan, Adnan Abdul Rahman, pegawai penguat Kuasa KPDNHEP Kota Bharu telah bertindak menyiasat aduan tersebut di premis yang diadukan dan hasil siasatan dijalankan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis berkenaan terhadap jualan makanan.

“Satu tindakan kes diambil di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 ke atas kesalahan premis gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

“Sebelum itu satu aduan awam daripada pengguna telah diadukan kepada KPDNHEP Kota Bharu berkaitan satu premis tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual di Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan.

“Pengadu membayar sebanyak RM38 dan pengadu tidak berpuas hati dengan harga pembelian tersebut kerana harga terlalu tinggi dan tiada tanda harga dipamerkan,” jelasnya.

Pengadu kemudiannya tampil ke pejabat KPDNHEP dengan membuat aduan rasmi berkaitan pengaduan tersebut berserta bukti pembelian dari premis yang diadukan.

Susulan itu kedai makan terbabit telah dikompaun kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan dijual.

Beliau menjelaskan untuk rekod sebanyak 44 kes di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 dilaporkan dari Januari 2021 hingga hari ini.

KPDNHEP memberi amaran kepada semua peniaga agar mempamerkan tanda harga supaya pengguna boleh membuat pilihan dan perbandingan sebelum pembelian.

Pengguna juga katanya boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan KPDNHEP Kelantan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang tegas keatas premis-premis yang melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan. – AA