Bayi meninggal dunia selepas diberi susu oleh pengasuh
Seorang bayi berusia lebih kurang dua bulan tidak bergerak selepas diberi susu dan ditidurkan oleh pengasuh.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 pagi semalam di Batu 7, Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada jam 1 tengahari semalam, polis menerima panggilan memaklumkan seorang bayi perempuan warganegara Malaysia umur lebih kurang 2 bulan telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di sebuah Klinik di Sri Gombak.
Katanya, hasil pemeriksaan awal pihak polis mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan bayi yang meninggal dunia itu.
“Mangsa adalah anak pertama kepada ibunya yang yang berusia 26 tahun merupakan seorang pembantu tadbir manakala bapanya 27 tahun operator Kren.
“Ibu bapa mangsa dan pengasuh berkenaan tinggal berjiran iaitu di tingkat 18 dan 19 dengan pengasuh di sebuah Apartment Batu 7, Gombak,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Sebelum kejadian katanya, pengasuh, seorang wanita berusia 43 tahun memberitahu sekitar 8 pagi semalam ibu mangsa telah menghantar bayi tersebut seperti biasa untuk dijaga olehnya.
“Dalam 30 minit kemudian, mangsa telah diberi susu dan dipercayai telah tidur dan adik pengasuh yang berumur 22 tahun turut membantunya menjaga lima lagi kanak-kanak dan bayi berumur enam bulan hingga lima tahun di rumah tersebut.
“Kira-kira jam 11.45 pagi hari yang sama, pengasuh mendapati bayi itu (mangsa) tidak bergerak dan cuba mengerakkannya namun tiada tindak balas.
“Pengasuh terus menghubungi suaminya dan ibu mangsa mengenai insiden itu sebelum bergegas ke klinik dengan mangsa yang tak sedar diri di Jalan Prima Gombak.
“Apabila sampai di Klinik tersebut, doktor yang telah memeriksa mengesahkan mayi itu telah telah meninggal dunia dan punca kematian tidak diketahui,” katanya.
Ujar beliau, mayat simati dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk ujian Covid-19 dan proses bedah siasat akan dijalankan pada esok.
“Kes diklasifikasi sebagai Mati secara mengejut (SDR) sehingga keputusan post mortem diperolehi,” tegasnya.
Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/01/12/bayi-tidur-selama-lama-selepas-diberi-susu-oleh-pengasuh/