Bayi lelaki masih bernyawa dalam plastik hitam

Bayi lelaki masih bernyawa dalam plastik hitam

 

Bayi lelaki yang masih hidup ditemui dalam plastik hitam di belakang sebuah rumah di Taman Puchong Indah, Puchong, di sini, malam tadi.

Bayi cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam sebelum ditemui seorang lelaki pada jam 9.24 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, lelaki terbabit memaklumkan menjumpai bayi itu selepas mendengar bunyi tangisan di kawasan belakang rumah teres berkenaan.

“Bayi yang masih hidup itu dibungkus dengan plastik hitam dalam keadaan terbuka. Saksi kemudian menghubungi polis untuk bantuan.

“Sepasukan polis ke lokasi dan mendapati bayi dalam keadaan berlumuran darah bersama uri serta bertali pusat. Kawasan kejadian pula didapati dalam keadaan gelap serta bersemak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fairus berkata, bayi terbabit dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh pihak hospital menganggarkan bayi itu dipercayai dilahirkan ketika usia kandungan antara 38 hingga 40 minggu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuangnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, 03-56210343.