Bayaran fasa 3 dan rayuan BKM dikreaditkan mulai Selasa ini – PM

Bayaran fasa 3 dan rayuan BKM dikreaditkan mulai Selasa ini – PM

 

Pembayaran Fasa Tiga dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima secara berperingkat, mulai Selasa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran bernilai RM2.2 bilion itu dijangka memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima.

Beliau berkata, ia membabitkan penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas, bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang lulus rayuan BKM dengan keseluruhan proses berkenaan dijangka selesai pada 27 September ini.

Selain itu, katanya, sebanyak RM5.9 bilion sudah pun disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran ditetapkan, sehingga September 2022.

“Bagi BKM Fasa Tiga, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.

“Lebih 80,000 penerima sudah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing, termasuk Bantuan Tunai Tambahan diumumkan kerajaan, pada Jun lalu.

“Masih terdapat bayaran (BKM) fasa empat, bernilai RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung diumumkan dalam Bajet 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan pemberian tunai tambahan menerusi BKM kepada B40 yang terkesan dengan kos sara hidup yang memanfaatkan seramai 8.6 juta penerima dengan isi rumah menerima sehingga RM2,500, tahun ini.

Kemudian kerajaan mengambil keputusan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk kumpulan isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.

Perdana Menteri berkata, semakan status pembayaran boleh dibuat menerusi pautan https://bkm.hasil.gov.my, mulai Selasa depan.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

“Kerajaan komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan dalam Bajet 2023,” katanya.