Bau busuk beri petunjuk, pelajar IPTA ditemukan mati dalam bilik

Bau busuk beri petunjuk, pelajar IPTA ditemukan mati dalam bilik

 

 

 

 

 

Seorang penuntut tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditemui mati dalam bilik di tingkat lima kolej kediamannya dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa dari pusat kawalan IPTA berkenaan, pada jam 7.45 malam.

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas seorang rakan mangsa datang ke bilik itu untuk bertemunya kerana mereka lama tidak berjumpa, kira-kira jam 4.30 petang.

“Rakan mangsa mendapati pintu bilik mangsa berkunci sebelum terbau bau busuk dari bilik berkenaan.

“Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada kepada felo pelajar sebelum mereka bersama beberapa penuntut lain di kolej itu membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebaik pintu dapat dibuka, Anbalagan berkata, mereka menemui mangsa dalam keadaan terlentang di atas lantai berhampiran katil dalam keadaan hanya berseluar panjang dan bilik berbau busuk.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati pintu dalam keadaan berkunci dan tingkap tertutup rapat. Pelbagai barangan berharga termasuk komputer riba dan telefon bimbit masih ada di dalam bilik.

“Semakan mendapati mangsa yang berusia 29 tahun itu adalah penuntut lelaki semester enam (tahun akhir) ijazah sarjana di IPTA terbabit dan tinggal seorang diri,” katanya dan memaklumkan kali terakhir mangsa ditemui rakan adalah dua hari lalu.

Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.