Bapa liwat anak kandung usia 4 tahun

Bapa liwat anak kandung usia 4 tahun

 

Seorang bapa tergamak menjadikan anak perempuannya yang berusia empat tahun sebagai tempat pemuas nafsu dengan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di sini semalam.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 51 tahun itu terbongkar apabila kanak-kanak terbabit mengadu sakit di bahagian dubur kepada neneknya yang tinggal di rumah bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan daripada nenek mangsa sebelum menahan suspek malam semalam.

Katanya, terdahulu, wanita terbabit menyedari perubahan pada cucunya yang kelihatan muram dan memanggilnya ke rumahnya.

“Mangsa kemudian memaklumkan dia berasa sakit di bahagian dubur. Neneknya kemudian meminta mangsa menceritakan kejadian yang berlaku.

“Anak bongsu daripada tiga beradik itu seterusnya memberitahu tentang perbuatan bapanya,” katanya di sini hari ini.

Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di sini untuk pemeriksaan.

Suspek direman selama enam hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.