Bapa ditahan kejadian 3 kanak-kanak keluar badan pada tingkap kereta

Bapa ditahan kejadian 3 kanak-kanak keluar badan pada tingkap kereta

IPOH – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rakaman aksi berbahaya tiga kanak-kanak duduk pada tingkap sebuah kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya yang tular di media sosial semalam

 

 

Lelaki berusia 37 tahun yang merupakan ejen insurans itu ditahan di rumahnya di Sunway City, Tambun di sini pada pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiga anak suspek yang terlibat dalam aksi tular itu juga akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, siasatan sedang dijalankan di mana tindakan tegas akan diambil terhadap perbuatan pemandu itu yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

“Tindakan lelaki terbabit membenarkan kanak-kanak itu mengeluarkan separuh badan pada tingkap penumpang ketika kenderaan sedang bergerak merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kita sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan tuduh,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat negeri Perak di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Aksi berbahaya itu mengundang kritikan warga maya yang rata-rata mengecam tindakan pemandu terbabit yang tidak menegah perbuatan kanak-kanak itu dalam keadaan kereta dipandu laju.