Bapa bawa anak OKU samun kedai serbaneka

Bapa bawa anak OKU samun kedai serbaneka

Seorang lelaki sanggup ‘mengheret’ anak kelainan upaya (OKU) lelakinya untuk merompak sebuah kedai serbaneka di sini, kelmarin.

Kegiatan suspek berusia 32 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas diberkas polis kira-kira pukul 6 petang di Bukit Piatu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 1.30 petang.

“Kita menerima laporan daripada wanita pekerja kedai serbaneka 24 jam di Taman Sutera, Batu Berendam memaklumkan telah disamun lelaki bersenjata pisau dan membawa seorang kanak-kanak.

“Suspek telah melarikan wang tunai RM197 dan tiga kotak rokok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek ditahan di sebuah surau dan pemeriksaan ke atasnya menjumpai wang tunai berjumlah kira-kira RM187, satu kotak rokok serta pakaian yang dipakai semasa kejadian.

“Hasil soal siasat, kanak-kanak dibawa suspek merupakan anaknya dan merupakan OKU lembam.

“Kita percaya suspek mempergunakan anaknya untuk mengaburi kegiatan jenayahnya dan mendakwa mempunyai isteri yang berniaga kerepek,” katanya.

Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan direman selama lima hari sehingga 28 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE