Banyak berbakti bantu mangsa banjir, Abang Viva dikurnia Pingat Kebesaran Negeri

Banyak berbakti bantu mangsa banjir, Abang Viva dikurnia Pingat Kebesaran Negeri

Banyak membantu mangsa banjir, khususnya ketika beberapa negeri dilanda musibah tersebut pada Mac lalu, Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva hari ini mendapat penghargaan apabila dikurniakan pingat kebesaran daripada negeri Melaka.

Memetik laporan BERNAMA, beliau dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam dalam satu Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka. Majlis yang diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri di Ayer Keroh itu bersempena sambutan ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

Lebih manis, penghargaan yang diterimanya itu turut disaksikan oleh ibunya, Norbibah Hashim, 67, yang turut hadir menemaninya untuk menerima pingat kebesaran tersebut.

Usaha Abang Viva menjadi bualan orang ramai apabila kisahnya bergerak solo memandu Perodua Viva yang membawa bot getah dan berbekalkan modal RM 50 untuk membantu mangsa banjir di Selangor dari Melaka menjadi tular di media sosial.

Terdahu Abang Viva juga turut membantu mangsa banjir di Kedah dan Terengganu. Beliau juga pernah berkongsi pengalaman manis dan pahit sepanjang dalam misi menyelamatkan mangsa banjir di SK On Air yang bersiaran langsung di Siakap Keli TV.

Abang Viva juga mendapat perkhabaran baik sepanjang perjalanannya dalam meneruskan misi bantuan apabila ada sebuah syarikat yang berbesar hati untuk memberi sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda kepadanya bagi memudahkan lagi menjalankan misi bantuan tersebut.

Disebabkan beliau yang sering turun padang membantu mangsa banjir telah melayakkan beliau untuk mendapatkan penganugerahan itu.

Kredit BERNAMA

Sumber: BERNAMA