Banyak aduan diterima, DBKL angkut meja peniaga halang laluan pejalan kaki

Banyak aduan diterima, DBKL angkut meja peniaga halang laluan pejalan kaki

Tular di media sosial baru-baru ini berkenaan keluhan orang ramai mengenai laluan pejalan kaki berbumbung dipenuhi dengan meja dan kerusi kedai makan.

Ekoran daripada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kemaskini akaun Facebook rasminya pada hari ini telah berkongsikan tentang satu operasi yang dijalankan untuk menyita meja dan kerusi makan yang diletakkan di laluan pejalan kaki di laluan berbumbung LRT Wangsa Maju semalam.

Operasi itu telah dijalankan oleh DBKL pada malam tadi selepas menerima banyak aduan berkenaan tindakan tidak wajar penjaja yang mengambil kesempatan dengan kemudahan yang disediakan untuk pengguna laluan berbumbung tersebut.

“DBKL sedar akan keperluan sebahagian dari anggota masyarakat di Kuala Lumpur ni untuk mencari rezeki melalui aktiviti penjajaan. Buktinya ada inisiatif Wilayah Bebas Niaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota yang diperkenalkan sebelum ni.

“Jangan la disebabkan kita berniaga di situ, timbul masalah kesesakan lalulintas, pejalan kaki tak dapat nak gunakan laluan berbumbung yang disediakan untuk mereka dan sebagainya,” tulis kemaskini berkenaan.

Sebelum ini, telah tular berkenaan tindakan penjaja yang meletakkan meja makan mereka di sekitar laluan pejalan kaki berbumbung berkenaan di Facebook.

Selain itu, DBKL juga menasihati kelompok penjaja di Kuala Lumpur untuk patuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh DBKL dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

 

Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur