Bakat nyanyian bertaraf antarabangsa

Bakat nyanyian bertaraf antarabangsa

Epik dan ikonik! Itulah frasa tepat menggambarkan kemuncak karier muzik penyanyi, pelakon dan pengacara Marsha Milan, 37, selepas persembahan menakjubkan di Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36), baru-baru ini.

Berminggu-minggu video dia menyanyikan lagu Cinta pada acara berprestij itu menjadi sohor kini di YouTube.

Selepas dua minggu, video berkenaan sudah meraih lebih 3.7 juta tontonan.

Pujian dan ucapan tahniah masih belum surut terhadap persembahan yang cukup meninggalkan impak luar biasa itu.

Hakikatnya, bukan rakyat Malaysia saja, malah pencinta muzik seluruh dunia mulai menggali mengenai kerjayanya.

Rata-ratanya tidak sangka bakat nyanyiannya bertaraf antarabangsa.

Benar, rezeki memang tidak pernah salah alamat. Namun, Marsha menanti lebih 16 tahun untuk mengecap detik yang cukup besar maknanya buat perjuangan seninya selama itu.

Kerja keras serta perit-jerih akhirnya terbayar selepas hampir dua dekad mencari tapak kukuh dalam arena seni suara. Bakat besarnya kini lebih diperakui dan berjaya menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Mengenali Marsha sejak lebih 10 tahun lalu, penulis juga semestinya tumpang bangga dan gembira dengan pencapaiannya itu.

Ia ibarat satu kemenangan buat semua yang sentiasa percayakan dia serta penyokong tegarnya.

Sepanjang kariernya, pelbagai fasa dilalui Marsha daripada peserta Akademi Fantasia 3 (AF3), menjadi pelakon, pengacara, berkahwin dan terus aktif mengabadikan bakat seninya tanpa kenal erti penat.

Namun, satu hal yang cukup menonjol pada dirinya adalah keperibadian cukup terpuji. Dia menggendong gelaran artis itu dengan mempamerkan nilai wibawa tinggi, tidak banyak ‘songeh’ dan sentiasa merendah diri.

Dalam kalangan orang industri hiburan, tanya sesiapa saja pasti mereka berkata cukup menyenangi Marsha. Dia seorang individu yang tidak akan menyusahkan orang lain dan sentiasa memberikan kualiti kerja terbaik.

Demikian juga sikap hormat dalam dirinya yang begitu menebal. Buktinya, dia tidak pernah memandang rendah dan akan berikan kerjasama terbaik tidak kisahlah kepada orang baharu dikenali mahupun kenalan rapat.

Hakikatnya, sikap itu turut terpapar jelas dalam hubungannya dengan keluarga sendiri. Kagum sekali bagaimana hormatnya dia terhadap ibu bapa, mentua, suami serta anggota keluarga terdekatnya yang lain.

Kerjayanya juga beroleh berkat cukup besar menerusi keikhlasannya menjalani kehidupan anak seni. Boleh dikatakan setiap hari-harinya cuma diabadikan untuk langsaikan tawaran kerja semata-mata.

Sesekali, Marsha ada juga berkongsi mengenai aktiviti ibadahnya walaupun amat jarang. Ia menjadi bukti bahawa dia amat menitikberatkan soal ibadah tanpa hanyut dibuai dengan keseronokan duniawi.

Pada AJL36 tempoh hari, penyanyi itu turut berkongsi bahawa dia cuma berdoa dan tawakal dengan apa saja berlaku sewaktu persembahannya kelak. Padahal, ketika itu dia sudah kehilangan suara akibat batuk.

Dengan berbekalkan doa, dia tidak mahu beralah meskipun baru pulih daripada jangkitan Covid-19 beberapa hari sebelum acara itu. Dalam kepalanya cuma peluang itu cuma sekali dalam seumur hidup.

Doanya termakbul apabila percubaan pertamanya di pentas penghulu segala acara muzik itu jadi detik paling diingati ramai. Dinobatkan tempat kedua, dia turut membolot trofi Persembahan Terbaik.

Disebabkan kemenangan itu, rata-rata peminat atau individu yang tidak henti menyokongnya selama ini jelas terkesan besar. Di media sosial, mereka turut bersorak gembira melihat Marsha di kemuncak.

Kegigihan penyanyi ini yang jelas tidak berpenghujung menjadi penanda aras tertentu dalam industri muzik tempatan. Dia mencipta legasi sendiri tanpa dibayangi aspek lain tapi berdiri atas bakatnya.

Sejujurnya, pegangan sebeginilah harus menjadi contoh kepada orang ramai terutama yang bercadang ingin memasuki bidang seni. Biar berdekad dalam industri, seseorang anak seni tidak sekali-kali harus menoktahkan kerja keras.