Azmer tak tidur lena rasa berdosa biarkan jiran hidup susah
Bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof terkesan dengan nasib seorang warga emas yang tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Ayer Puteh, Jalan Pegawai, dekat sini.
Menurutnya, kisah Rokhimah Ismail, 67, yang tular pada Ahad menyebabkan dirinya tidak dapat tidur lena.
“Dari semalam (Ahad) saya tidur tak lena kerana rasa berdosa. Rumah makcik ini ikut pada alamat hanya 5 minit dari rumah saya.
“Tapi saya tak tahu jiran saya sendiri yang susah di kala saya tidur di rumah yang selesa. Saya minta maaf makcik kerana lambat tahu,” katanya di Facebook pada Isnin.
Pemilik kepada Pusat Pengajian Azmeer Yusof ini berkata, beliau menerima banyak mesej berkaitan perkara tersebut sejak Ahad.
“Saya utamakan jiran yang jauh daripada saya tapi saya membiarkan makcik hidup dalam keadaan rumah macam ini. Maafkan saya makcik. Semoga ALLAH mengampunkan saya.
“Dari semalam ramai yang mesej saya beritahu tentang rumah ini. Jika tiada mana-mana pihak ‘take part’, saya akan bina rumah baharu untuk makcik ini,” katanya lagi.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas berharap permohonan pembinaan rumahnya melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada Ogos tahun lalu dapat diluluskan bagi menggantikan rumah pusakanya yang menanti runtuh. – SH