Atlet miskin Pakistan menang emas di Olimpik berubah jadi kaya raya

Atlet miskin Pakistan menang emas di Olimpik berubah jadi kaya raya

 

Kisah atlet dari Pakistan yang terpaksa menggunakan duit orang kampung untuk menjalani latihan rejam lembing, terus menjadi tajuk utama betita tempatan dan luar negara, tidak terlepas juga Malaysia.

Arshad Nadeem boleh dikatakan antara atlet yang miskin sebelum kemenangannya pada temasya sukan Olimpik Paris 2024.

Namun kini selepas dia memenangi pingat emas, hidupnya berubah sekelip mata sehingga dilaporkan menjadi atlet terkaya dengan pelbagai ganjaran menantinya dari kerajaan Pakistan.

Lapor laman berita DNA India, Ketua Menteri wilayah Punjab, Maryam Nawaz mengumumkan hadiah wang tunai sebanyak 100 juta rupee Pakistan (RM1.59 juta) untuk Arshad.

Selain itu, Datuk Bandar Karachi, Murtaza Wahab pula memberikan wang ganjaran sebanyak 50 juta rupee Pakistan (RM795,850) kepadanya.

Murtaza turut mendedahkan rancangan untuk menubuhkan sebuah akademi sukan di Karachi yang akan dinamakan sempena nama Arshad Nadeem.

Semua ganjaran tersebut akan meningkatkan nilai kekayaan bersih Arshad yang sebelum ini dianggarkan hanya memiliki aset kurang 10 juta rupee Pakistan (RM159,170).

Bermula sebagai atlet kurang dikenali, Arshad pada awal kariernya tiada wang untuk membeli lembingnya sendiri.

Dia menggunakan wang derma rakan-rakan sekampung dan saudara-mara untuk pergi ke bandar bagi menjalani latihan dan menyertai acara sukan merejam lembing, lapor laman berita NDTV.

Dalam sukan Olimpik Paris baru-baru ini, Arshad berada pada tahap terbaiknya ketika Pakistan memerlukan dia beraksi dengan baik.

Dalam percubaan kedua di pusingan akhir, Arshad merejam lembing pada jarak 92.97 meter.

Rejaman itu bukan sahaja membantu dia meraih pingat emas pertama dan terakhir untuk Pakistan pada Olimpik tahun ini, namun turut mencipta rekod baharu Olimpik.