Artis Korea, Yoo Joo-eun ditemui tidak bernyawa bersama nota
Artis Korea Selatan, Yoo Joo-eun dilapor ditemui maut bersama sekeping nota pada usia 27 tahun dalam satu tragedi pilu hari ini, merujuk laporan AsiaOne dan EuroWeekly.
Menurut EuroWeekly, Joo-eun ditemui maut oleh abangnya bersama sekeping nota kecil yang tertulis ‘kata-kata terakhir’ sebelum pergi buat selamanya.
“Saya minta maaf kerana pergi dahulu, terutamanya kepada ibu, ayah, nenek dan abang saya.
“Kamu akan berasa sunyi tanpa saya, tapi saya harap kamu akan terus kuat. Saya akan sentiasa melihat awak dari ‘atas’. Tolong jangan menangis, ia tidak baik untuk kesihatan,” katanya dalam surat terakhir itu.
Dalam pada itu, Joo-eun juga turut meluahkan tentang rasa minatnya dalam dunia lakonan, bagaimanapun dia berterus-terang bahawa dirinya tidak mampu untuk meneruskannya.
“Saya benar-benar mahu berlakon. Mungkin itu segala-galanya dan sebahagian daripada diri saya. Tetapi bukan mudah untuk menjalani kehidupan itu.
“Saya tidak mahu melakukan apa-apa lagi. Saya sangat berputus asa. Ia adalah satu ‘rahmat’ untuk melakukannya, tetapi saya juga menyedari ia adalah satu sumpahan dalam melakukan sesuatu perkara,” tulisnya lagi.
Difahamkan, nota terakhir itu ditemui abangnya lalu ia dimuat naik ke laman Instagram miliknya sebelum akaun media sosial itu dinyahaktifkan buat selamanya.
“Pada 29 Ogos hari ini, Joo-eun telah meninggalkan tempat ini (dunia) dan pergi ke tempat yang lebih ‘selesa’. Kalau kamu ada masa, silalah ‘jumpa’ Joo-eun melalui ‘jalannya’,” kata abangnya di Instagram, memetik AsiaOne.
Tambahan lagi, Joo-eun mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakannya atas kasih sayang dan sokongan mereka dan menambah bahawa ia adalah sumber kekuatannya untuk ketawa.
Imbas kembali, Joo-eun memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan K-drama Big Forest 2018 dan mula mendapat nama dalam Joseon Survival Period bersama pelakon lain seperti Kang Ji-hwan, Kyung Soo-jin dan Song Won-seok.
Sumber: AsiaOne