Anwar persoal duta-duta khas makan gaji buta

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kewajaran tambahan peruntukan sebanyak RM482 juta kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau menarik perhatian kepada lantikan-lantikan politik seperti Duta Khas ke Asia Barat, China, Korea, Taiwan dan Jepun yang disifatkannya sebagai tidak relevan ketika negara berdepan dengan COVID-19.

“Dilihat pada senarai penjawatan di JPM sahaja, penasihat media dan komunikasi, penasihat khas ekonomi, pejabat urusan khas utusan khas China, penasihat khas mengenai kesihatan awam, pejabat Duta Khas Jepun, Republik Korea dan Taiwan.

“Saya nak tanya apa peranan Kementerian Luar, bila kita terpaksa lantik dan bebankan rakyat dan negara dengan jumlah pengurusan yang tinggi?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan di sini, pada Isnin.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pertambahan yang ketara itu menyaksikan pertindihan dengan peranan yang mampu dilakukan oleh Kementerian Luar dan duta besar di seluruh negara.

Katanya, dalam membincangkan soal COVID-19, keprihatinan itu tidak setimpal dengan bayaran upah kepada jawatan yang tidak berkesan.

“Dalam COVID-19 ini, ke mana duta-duta khas ini pergi? Semua di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Selain itu beliau turut mempersoalkan mengenai pertambahan peruntukan sebanyak RM181 juta kepada kakitangan kontrak.

“Peningkatan RM181 juta untuk pegawai kontrak politik di bawah JPM, saya nak tanya apa hubungan lantikan ini dengan derita rakyat ketika COVID-19?” tambahnya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ke-mana-dutaduta-khas-pergi-dalam-tempoh-covid19-ini-soal-anwar-270852