Annuar dakwa ‘trojan horse’ DAP sedang pecahkan kesatuan Umno-Pas-PPBM

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa menggesa parti politik dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) supaya mengukuhkan perpaduan dan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam usaha menentang strategi “trojan horse” DAP.

Dalam catatan di Facebook, Annuar mengingatkan gabungan itu bahawa penyatuan yang dibina pada hari ini adalah berdasarkan kebimbangan terhadap cara pemerintahan DAP yang diketuai Pakatan Harapan (PH) pada satu ketika dulu, yang menyebabkan mereka jatuh.

“Kini tidakkah kita perlu kuatkan lagi muafakat kita, perikatan kita, barisan kita atau kita kembali berpecah?

“Malangnya kini terdapat tanda-tanda muncul pihak yang mahu berpecah-belah.

“DAP dan rangkaian kembali mendapat rentak seperti sebelum pilihanraya umum ke-14, iaitu pecahkan kesatuan kita, kerana yang paling ditakuti mereka ialah jika Umno-PAS-PPBM bersatu dan menentang PH secara 2 penjuru.”

“Kita tidak akan biarkan DAP kembali berkuasa atau cuba menguasai politik melalui “wayang Cina”,” katanya yang percaya bahawa DAP mempunyai strategi lebih halus dikenali sebagai ‘trojan horse’ untuk menghancurkan kerajaan sedia ada.

“(Mereka) berpura-pura bersembunyi di belakang, tetapi tetap berikhtiar supaya PPBM, Umno dan PAS berpecah,” katanya.

Annuar, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata, beliau bersetuju dengan keputusan parti itu untuk bergabung dengan kerajaan PN dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri, sementara PAS dan PPBM sebagai sekutu politik.

Malah, beliau mengulangi pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Sekiranya kita ingin berjaya dan dipercayai, kita perlu memastikan bahawa PN menjadi pemerintah yang berjaya, Kabinet yang bersatu dan pasukan yang setia dan jujur,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today