Anjing tidur lena ketika latihan rompakan bersenjata

Seekor anjing peliharaan jenis Husky di Thailand dilaporkan tidur sepanjang sesi latihan rompakan bersenjata di sebuah kedai barang emas milik tuannya.

Lapor Daily Mail, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan aksi lucu anjing itu tidur dengan tidak menunjukkan sebarang reaksi malah mengabaikan perompak yang menggunakan senjata dalam satu sesi latihan di Chiang Ma, Thailand, baru-baru ini.

Ketika sesi latihan dijalankan, seorang lelaki menghampiri kaunter dan mengacukan pistol automatik palsu ke arah pemilik kedai.

Pemilik kedai barang emas itu, Worawut Lomwanawong menunggu anjing bernama Lucky ‘menyerang’ lelaki itu.

Worawut dilihat kerap kali memandang dan cuba berbisik agar anjing yang sedang tidur itu bangun serta menyerang lelaki tersebut.

Namun, Lucky tanpa menghiraukan tindakan itu terus tidur walaupun pemiliknya diacu pistol dan beg yang mengandungi wang diserahkan kepada perompak tersebut.

Menurut Worawut, kejadian itu amat melucukan kerana anjing tersebut lebih mementingkan tidurnya berbanding menjaga kedainya.

“Saya baru sedar Lucky mempunyai keutamaannya. Dia lebih gemar tidur daripada menjaga kedai kami.

“Saya cuba melatihnya untuk berdepan dengan kes seperti ini tetapi dia hanya tidur semasa simulasi kami,” katanya. – UO