Anjing rampas mikrofon dari wartawan berita, “aku juga mahu bersuara..”

Wartawan yang membuat laporan di lapangan sering terdedah dengan pelbagai gangguan dari persekitaran mereka, namun gangguan yang berlaku kepada seorang wartawan dalam sebuah video yang tular baru-baru ini membuat ramai ketawa geli hati.

Kejadian yang berlaku kepada seorang wartawan dari Rusia itu menunjukan seekor anjing merampas mikrofonnya ketika dia sedang memberikan laporan di hadapan kamera.

Ketika wartawan Nadezhda Serezhkina dari Mir TV sedang bersedia untuk memberi laporan kepada penonton mengenai cuaca pada hari-hari akan datang, tiba-tiba seekor anjing jenis Golden Retriever berlari masuk ke dalam rakaman.

Anjing tersebut dipercayai tertarik dengan mikrofon yang dipegang oleh wartawan tersebut apabila haiwan itu tanpa amaran merampas mikrofon itu dari tangan Serezhkina.

Jurukamera juga tidak menghentikan rakaman dan berjaya menangkap adegan lucu di mana wartawan itu mengejar anjing tersebut untuk cuba mendapat mikrofonnya semula, sebelum laporan tersebut beralih kepada pembaca berita di studio yang mengatakan sambungan mereka telah terputus.

Siaran berita itu walau bagaimanapun tidak terhenti dan diteruskan seperti biasa walaupun kejadian melucukan yang berlaku disaksikan secara langsung oleh penonton dari mula hingga akhir.