Anim Ezati & suami dah bercerai awal tahun lalu

Anim Ezati & suami dah bercerai awal tahun lalu

Pengacara, Anim Ezati Rizki, 30, mengesahkan dia sudah bercerai sejak awal tahun lalu, namun merahsiakan perkara itu atas permintaan bekas suaminya, Mohd Fadli Sahudin.

Anim, 30, berkata, dia dan bekas suami masih berkawan baik demi membesarkan puteri tunggal mereka, Yara Alanna Khalsom yang kini berusia dua tahun.

“Jodoh kami sampai di sini saja. Demi mengelakkan sebarang fitnah, saya terpaksa buka cerita perpisahan ini. Kalau boleh, saya tak nak langsung kongsi perkara begini namun saya terpaksa juga.

“Alhamdulillah untuk dua tahun yang Allah izinkan untuk bersama dalam perkahwinan dan hadiah yang paling berharga, anak perempuan kami. Kini, saya dan bekas suami tidak lagi bersama.

“Kami sudah berpisah pada awal tahun ini. Saya terpaksa rahsiakan dulu kerana ingin menghormati banyak pihak termasuk bekas suami sampai semua reda.

“Hak penjagaan anak sepenuhnya kepada saya. Hubungan saya dengan bekas suami dalam keadaan baik. Kami bersama-sama dalam membesarkan Khalsom,” katanya.

Sementara itu, Anim mengakui tidak mudah untuk menempuh fasa sebagai ibu tunggal.

“Saya tabik hormat kepada semua ibu tunggal di luar sana. Menggalas gelaran sebagai ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah.

“Saya merasai segala pahit manis, cabaran untuk membesarkan anak tetapi saya bersyukur kerana Allah permudahkan dengan pelbagai cara. Terima kasih di atas sokongan kalian dan doa yang dititipkan selama ini.

Anim dan Fadli mendirikan rumah tangga pada 28 Disember 2019.