‘Anak tidak bergerak, badan bertukar biru’

‘Anak tidak bergerak, badan bertukar biru’

Seorang bayi perempuan dilaporkan mati lemas apabila ditindih oleh ibunya yang meninggal dunia ketika sedang menyusukannya, lapor Daily Mail.

Suami kepada wanita dan ayah bayi perempuan berkenaan berulang kali cuba untuk menghubungi mereka namun tidak dijawab. Akhirnya telefon tersebut telah dijawab oleh anak mereka yang berusia 3 tahun, yang menyatakan bahawa ibunya itu ‘masih tidur’.

Kejadian menyedihkan itu dilaporkan berlaku di bandar Corrientes yang terletak di utara Argentina. Ketika kejadian, wanita yang berusia 30 tahun dan ibu kepada tiga orang anak itu sedang berada di rumah bersama dua anaknya yang masih kecil.

Anak sulung wanita berkenaan sedang berada di rumah neneknya manakala suaminya pula sedang berada di tempat kerja sewaktu kejadian.

Ketika wanita tersebut gagal untuk menjemput anak sulungnya itu, ahli keluarganya yang lain cuba untuk menghubunginya namun tidak dijawab.

Suaminya juga turut berulang kali cuba menghubunginya sehingga akhirnya dijawab oleh anaknya yang berusia tiga tahun.

Anaknya itu memberitahu kepada ayahnya: “Ibu sedang tidur.”

Menurut laman berita Telecinco, suaminya itu dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan segera pulang ke rumah sebelum menemui jasad isteri dan anak perempuannya yang berusia dua bulan terkulai layu di atas katil.

 

Hasil bedah siasat dan siasatan awal yang dijalankan terhadap kedua-dua mangsa dilaporkan tidak menunjukkan sebarang unsur-unsur keganasan.

Menurut Daily Mail, wanita tersebut dipercayai mengalami hipertensi yang teruk, mungkin terkejut pada ketika itu dan terus meninggal dunia, sehingga menyebabkan bayi yang disusukannya itu terhempap secara tidak langsung melemaskannya.

Hipertensi yang juga dikenali sebagai penyakit tekanan darah tinggi boleh menyebabkan strok atau serangan jantung serta lebih teruk lagi ianya boleh membawa maut.

Siasatan masih lagi sedang dijalankan.

Sumber: Daily Mail