Anak pelakon Mak Lampir redha pemergian ibu akibat Covid-19

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, aktres veteran Indonesia, Farida Pasha yang terkenal dengan watak Mak Lampir disahkan positif Covid-19.

Anak perempuannya, Gina Sonia juga memaklumkan keadaan Farida sebelum itu sudah lemah akibat mengidap vertigo dan sakit dalam perut.

“Mama awalnya sakit vertigo dan perut. Sudah dua kali mendapatkan rawatan dengan doktor tapi keadaannya terus melemah hingga dibawa ke rumah sakit.

“Selepas dilakukan pelbagai ujian dan x-ray, mama terkena pneumonia awal selain hasil saringan positif Covid-19,” katanya dipetik media tempatan.

Allahyarhamah Farida meninggal dunia pada 16 Jan lalu tetapi berita itu baru dilaporkan media semalam.

Pelakon itu yang membintangi lebih 50 filem, dilahirkan di Tasik Malaya, Jawa Barat, pada 21 Ogos 1952.

Farida yang terkenal dengan genre seram mulai dikenali melalui wataknya sebagai Mak Lampir dalam filem Misteri Gunung Merapi.

Nenek pemuzik muda Ify Alyssa itu baru saja menerima trofi Anugerah Sepanjang Hayat oleh Forum Perfileman Bandung pada November tahun lalu.

Anugerah itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi Farida dalam dunia perfileman Indonesia.

Farida terjun ke dunia perfileman buat pertama kali pada 1977 sebagai peneraju utama filem Guna-Guna Istri Muda.

Selama berkarier, arwah telah membintangi lebih daripada 50 judul filem layar lebar.

Gina berkata, allahyarhamah sempat mendapatkan rawatan intensif di hospital Tarakan sejak 13 Jan lalu.

Menurutnya, banyak kemudahan dan bantuan diberikan daripada pelbagai pihak sejak arwah ibunya sakit hingga akhir hayatnya.

“Atas segala kekhilafan arwah semasa hidup, kami memohon dibukakan pintu kemaafan yang sebesar-besarnya.

“Ini adalah ujian berat bagi kami sekeluarga. Tapi kami yakin Allah lebih menyayanginya dan tidak membuat mama menderita sakit lama-lama,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam keluarga, Delaz Sakti mengatakan, proses pengebumian Farida dilakukan dengan protokol pesakit Covid-19 yang ketat.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan lokasi pengebumian tersebut. – MK