Anak Norman & Abby ceburi bidang lakonan, tolak babak bersentuhan dengan wanita

Anak Norman & Abby ceburi bidang lakonan, tolak babak bersentuhan dengan wanita

 

Anak sulung kepada Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Danish Hakim yang juga peserta program Fit For Action berkata ibunya pernah menentang hasratnya untuk menyertai program pencarian bakat lakonan itu.

Memetik Harian Metro, bagaimanapun Danish berkata dia berjaya meyakinkan ibunya serta mendapat sokongan daripada bapanya untuk masuk ke dalam industri seni.

“Ayah memang sokong keputusan saya, tapi mak saya pula sebaliknya. Pada awalnya, dia tak setuju untuk saya sertai program ini dan melangkah ke dalam industri seni.

“Antara apa yang dikongsikan adalah, mengenai sisi gelap industri ini. Tapi, Alhamdulillah, dia dah makin faham minat saya dalam bidang lakonan dan dia dah mula terima,” katanya.

 

 

 

Dalam pada itu, Danish akan berpegang dengan prinsipnya untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon. Ujarnya, jika perlu melakonkan babak tersebut dia akan meminta supaya diajar mengenai teknik kamera seperti dilakonkan pelakon lain yang enggan melakukan adegan berkenaan.

“Saya dah jelaskan kepada pihak produksi bahawa saya tak boleh buat babak-babak bersentuhan. Orang tahu latar belakang saya sebagai pelajar agama, jadi saya perlu menjaganya.

“Tapi, andai kata saya perlu juga berlakon babak bersentuhan, saya akan minta bantuan kru atau pengarah untuk mengajar saya teknik kamera dan sebagainya. Selain itu, saya juga jelaskan kepada mereka bahawa saya perlu terus menunaikan solat apabila masuk waktu,” katanya.