Anak Najib Razak minta PM benarkan siaran langsung perbicaraan kes ayahnya

Anak Najib Razak minta PM benarkan siaran langsung perbicaraan kes ayahnya

Anak Najib Razak, Nooryana Najwa meminta kerajaan membenarkan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah membabitkan bapanya pada 19 Januari depan, disiarkan secara langsung.

Nooryana berkata bapanya sejak dari awal meminta perkara itu agar orang ramai faham apa yang berlaku di dalam mahkamah.

“Semakan kehakiman kes SRC yang akan bermula pada 19 Januari 2023 adalah sangat penting bagi ayah saya dan dia bakal dibebaskan sekiranya menang.

“Saya berpendapat kerajaan Anwar Ibrahim patut lebih terbuka dan bertindak telus dengan memberi kebenaran bagi perbicaraan ini disiarkan secara langsung melalui ‘online streaming‘,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Nooryana turut bertanyakan pendapat orang ramai apakah setuju jika prosiding itu disiarkan secara langsung.

Permintaan itu walaupun pihak mahkamah sebelum ini telah menjelaskan perbicaraan di mahkamah tidak boleh disiarkan secara langsung mahupun dirakam oleh mana-mana media.

Astro Awani pada 1 April 2019 melaporkan kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu, susulan pelancaran petisyen dalam talian bagi meminta perbicaraan kes SRC Najib disiarkan secara langsung di televisyen.

Najib kini menjalani hukuman di Kompleks Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Semakan kehakiman kes SRC akan didengar pada 19, 20 dan 26 Januari depan.

Selain itu, Najib juga masih berdepan empat perbicaraan jenayah iaitu kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB, kes pecah amanah jenayah International Petroleum Investment Company (IPIC) melibatkan RM6.6 bilion, kes pinda laporan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta dari SRC.