Anak Jokowi bakal disiasat badan pencegahan rasuah, guna jet peribadi ke luar negara
Badan pencegahan rasuah Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) mengesahkan akan meminta penjelasan daripada anak Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berikutan menggunakan jet peribadi ke luar negara, baru-baru ini.
Wakil Ketua KPK, Alexander Marwata, badan itu juga akan meminta anak bongsu Jokowi, Kaesang Pangarep, menjelaskan pihak yang menanggung kos perjalanan terbabit.
“Anak seorang pemimpin kerajaan menggunakan jet peribadi.
“Rakyat ingin tahu sama ada kelebihan yang dinikmatinya itu ada kaitan dengan bapanya,” katanya kepada Reuters.
Beliau berkata demikian selepas protes di seluruh negara sehingga menyebabkan Parlimen menangguhkan penggubalan undang-undang yang didakwa pengkritik akan melemahkan pihak yang membangkang Jokowi.
Undang-undang itu juga dikatakan akan membenarkan anaknya, Kaesang yang berusia 29 tahun, bertanding dalam pilihan raya wilayah.
Tindakan Kaesang yang menikmati perjalanan menggunakan jet peribadi itu menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia, selepas maklumat mengenainya dimuat naik dalam media sosial oleh isteri beliau.
Pada masa sama, Alexander berkata, pihaknya turut mengingatkan larangan pegawai dan pemimpin kerajaan daripada menerima hadiah.
“Jika kelebihan yang diperoleh beliau ada kaitan dengan kedudukan bapanya, ia harus dilaporkan sebagai menerima sesuatu yang menyalahi undang-undang.
“Namun sekiranya tidak, ia bukan suatu masalah,” katanya yang tidak memperincikan bila anak Jokowi itu akan disoal siasat.
Sementara itu, pejabat Presiden enggan mengulas berhubung perkara berkenaan.
Jokowi yang memegang tampuk kuasa sejak 2014, mula berdepan kritikan selepas beliau didakwa cuba membina dinasti politiknya melalui pembabitan ahli keluarga yang lain.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka, 36, dipilih sebagai Naib Presiden pada Februari sebelum memasuki pejabat secara rasmi pada 20 Oktober ini, bersama Presiden yang dilantik Prabowo Subianto.