Anak cedera terlibat kemalangan bas, Sharifah Shahira mengucap panjang

Anak cedera terlibat kemalangan bas, Sharifah Shahira mengucap panjang

Pengacara dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahira terkejut apabila mendapat tahu anak lelakinya, Airell Zulkifly, 18, terlibat dalam sebuah kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres merempuh treler di Jasin, Melaka, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Sharifah Shahira atau dikenali Shiera meluahkan kesyukuran apabila anaknya itu selamat dan hanya mengalami cedera ringan sahaja.

 

 

“Anakku ada dalam bas ni pagi tadi. Alhamdulillah, okey dah ada kat rumah.
“Dia tak nak cakap kata bas rosak. Nasib dia duk belakang, mak tak berhenti doa untuk anak-anak,”tulisnya di ruangan hantaran menerusi Instagram.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 3.30 pagi dan Airell antara 16 penumpang yang mengalami kecederaan selepas bas ekspres dinaiki dari Singapura menuju ke ibu kota merempuh belakang treler berkenaan.

Pemilik nama Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, anaknya itu berada di Singapura sejak Jumaat lalu bagi menghadiri sebuah festival animasi. Tambah Shiera, pada mulanya Airell cuba berselindung mengenai kemalangan itu, namun setelah diselidik barulah dia dapat tahu.

“Petang semalam, selepas saya balik kerja, saya nampak ada luka di dahinya. Mulanya dia tutup dengan rambutnya yang agak panjang itu. Bila saya tanya kenapa, dia kata itu jerawat, tapi saya tengok macam luka. Itu saya bertanya sama ada dia bergaduh dengan sesiapa, sudahlah pergi ke Singapura tidak maklumkan kepada saya atau Ijoy.

Shiera berkata, selepas memaksa bertanya, dia terkejut apabila anaknya beritahu bas kemalangan.

“Terus dia buka cerita sebenar, bas bukan rosak tapi kemalangan. Mengucap panjang saya waktu dengar tu,”katanya.

Sekadar info, seramai 16 daripada 27 penumpang yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Jasin, Melaka itu, mengalami kecederaan apabila bas ekspres yang dinaiki merempuh belakang sebuah treler membawa muatan barangan kitar semula.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Azman Md Dawam berkata, semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital menaiki ambulans dan kenderaan EMRS untuk menerima rawatan lanjut.

Sumber: Instagram @shieraijoyHarian Metro (Zaara Talita)