Anak-anak tabah harap kepulangan Yasin

Anak-anak tabah harap kepulangan Yasin

“Anak-anaknya sangat kuat dan menunggu kepulangan beliau (Yasin),” kata Zain Sulaiman, 50, abang kepada penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman yang dituduh mengedar dan menanam pokok ganja, hari ini.

Menurut Zain, kedua-dua anak Yasin yang berusia 17 dan 12 tahun sudah mengetahui keadaan bapa mereka bahkan, menaruh harapan tinggi untuk melihat lelaki itu kembali ke pangkuan keluarga.

Katanya, ahli keluarga mereka juga sentiasa mendoakan yang terbaik buat Yasin dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Saya mendoakan Allah SWT mempermudahkan segalanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini.

Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin memaklumkan lelaki itu melalui fasa perceraian dengan isteri yang memburukkan kesihatannya, namun dikelilingi ahli keluarga dan kenalan yang sentiasa memberi sokongan.

Katanya, Yasin juga tiada rekod negatif dan banyak memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi karyanya sebelum ini.

Terdahulu, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen dimaklumkan Yasin menghidap bipolar sejak 2009 dan memerlukan rawatan susulan, dengan rawatan terakhir diterimanya pada dua bulan lalu.

Yusmadi memohon pertimbangan mahkamah untuk rawatan anak guamnya, sebelum mahkamah mengarah perkara itu dibawa ke pengetahuan Jabatan Penjara.

Yasin hari ini menghadapi dua pertuduhan iaitu menanam 17 pokok ganja dan mengedarnya di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Mahkamah tidak membenarkan Yasin diikat jamin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.