Pelakon Aman Graseka berkata dia terpaksa menangguhkan utnuk melakukan acara ‘jejak tanah’ untuk anak lelakinya Aishyraf Mikail Shah, berusia setahun dua bulan kerana kurang sihat.

Memetik Harian Metro, Aman berkata anaknya itu turut dimasukkan ke hospital akibat demam yang menyebabkan sawan dan terpaksa menangguhkan acara itu pada Disember depan.

“Sekarang matanya pula ada jangkitan virus, baru jadi sejak lima hari lepas. Kami terpaksa tangguhkan acara ‘jejak tanah’ ini dan mungkin dibuat pada awal Disember nanti.

“Anak saya perlu berpantang tidak boleh kena pasir selagi majlis ini tidak diadakan. Dalam acara itu, dia akan diletakkan di atas pasir dan berjalan atas bunga. Keadaan matanya sekarang masuk hari keenam, air pecah dan nampak darah,” katanya.

Pelakon yang kini menetap di kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah berkata anaknya itu perlu dibawa berjumpa pakar untuk mengenal pasti virus di matanya itu.

“Saya perlukan bantuan nasihat pakar mata untuk anak saya. Malah, saya amat menghargainya jika ada. Sewaktu demam Aishyraf Mikail dimasukkan ke sebuah hospital dan menerima rawatan selama tujuh hari sebelum dibenarkan keluar.

“Saya cuma tak bawa jumpa pakar mata lagi. Lepas kami sambut ulang tahun kelahirannya, dia masuk hospital sebab demam. Selepas itu kena sakit mata pula dan kerap gosok mata.

“Saya sekarang baru lagi bekerja hantar parcel. Mana tahu kalau-kalau jangkitan kuman bermula dari situ pun boleh jadi juga,” katanya.

Dalam pada itu, Aman mengakui sukar untuk dipanggil berlakon apatah lagi dia menetapkan syarat enggan bersentuhan dengan muhrim dalam lakonan. Ujarnya lagi, kali terakhir dia berlakon adalah pada Julai lalu.

“Begitu juga dalam bab bekerja dengan jurusolek artis perempuan dan kru perempuan. Itu yang agak susah orang nak panggil berlakon.

“Kali terakhir saya berlakon pula pada Julai lalu filem Hantu Kum Kum untuk Astro First dan penggambaran di Perlis,” katanya.

Aman juga mengakui susulan syarat yang ditetapkannya itu memberi kesan terhadap kariernya namun dia percaya pada rezeki dan akan terus berusaha mencari perndapatan.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi saya dah tetapkan syarat ini. Saya tahu kesannya tapi saya percaya rezek datang dari Allah.

“Tawaran itu ada, tapi syarat saya buat produksi berat nak terima walaupun untuk beri watak bapa. Apapun jangan kita mengeluh dan salahkan sesiapa. Rezeki Tuhan dah tetapkan. Kita usaha sahaja,” katanya.