‘Aku sanggup buat apa saja!’ – Lelaki gila talak sanggup fitnah ‘Check In’ dengan isteri sebab nak rujuk

‘Aku sanggup buat apa saja!’ – Lelaki gila talak sanggup fitnah ‘Check In’ dengan isteri sebab nak rujuk

Tidak dinafikan setiap pasangan yang berumah tangga sudah pastinya mengimpikan supaya mahligai yang terbina berkekalan buat selama-lamanya. Bagaimanapun, tak semua mahligai yang dibina mampu bertahan berikutan beberapa masalah yang berlaku. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan selebihnya telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

 

Seperti perkongsian seorang Peguam Syarie Amalina Adam menerusi satu hantaran di laman Facebook, tampil menceritakan sebuah kisah di mana seorang lelaki yang ‘enggan’ melepaskan bekas isterinya dengan cara yang baik.

 

‘Suami merujuk aku tanpa rela’

Sekadar gambar hiasan

Kisahnya bermula apabila wanita ini sudah pun move on daripada bekas suaminya dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan hatinya. Namun, perancangan tersebut sama sekali tidak berjaya apabila bekas suaminya bertindak memfailkan kes pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah.

Saya hendak berkongsi suatu kisah tentang pengakuan seorang wanita yang mana dirinya terpaksa menanggung beban kerugian dalam persiapan perkahwinannya termasuklah bakal disaman oleh tunangnya sendiri apabila beliau menerima suatu saman daripada pihak bekas suaminya yang telah memfailkan kes pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah.

Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai berbuat demikian selepas mengetahui bekas isterinya bakal berkahwin semula dengan seorang lelaki yang kaya, kacak atau bahasa mudah difahami lelaki (duda) yang menjadi kegilaan ramai wanita.

Selepas mengetahui akan berita tersebut, lelaki ini kembali merayu dan meminta untuk kembali bersama sebagai suami isteri dan sempat memberikan janji-janji ‘manis’. Tidak berakhir di situ, dia juga berjanji tidak akan melakukan kesilapan sama yang pernah dilakukan sebelum ini, iaitu curang dengan wanita lain.

Setelah melihat tiada balasan Whatsapp daripada bekas isteri lalu bekas suami tersebut cuba pula menganggu bekas isterinya di tempat kerja. Berkali-kali cubaan memberi bunga, coklat dan sebagainya untuk menarik perhatian bekas isterinya itu. Malangnya bekas isteri tidak pernah melayani pemberian-pemberian tersebut malahan diberikan pula pemberian itu kepada staf yang lain.

Misi masih tak berjaya

Sekadar gambar hiasan

Perancangan demi perancangan dibuat oleh lelaki berkenaan sama sekali tidak berjaya, sehinggakan dia menggunakan alasan ‘anak-anak’ demi merujuk semula bersama bekas isterinya. Berbicara soal nafkah, segala keperluan anak-anak ditanggung sepenuhnya oleh ibu mereka yang akan menghantar duit setiap bulan bagi menampung segala perbelanjaan.

Anak-anak tinggal bersama nenek di kampung. Bekas suami membawa anak-anak tersebut datang ke rumah bekas isteri kononnya hendak memujuk rayu supaya bekas isteri menerima dirinya semula sedangkan sebelum ini bekas suami tidak pernah mengambil tahu pun tentang anak-anak.

Hari demi hari berlalu, alangkah terkejutnya wanita ini apabila menerima satu mesej ugutan daripada bekas suaminya yang masih tidak reda dengan perpisahan mereka. Ugutan tersebut secara tidak langsung, membuatkan dia berasa gelisah sehinggalah dia menerima satu saman dari Mahkamah Syariah bagi menjawab kes pengesahan rujuk.

Kalau aku tak dapat kau, orang lain pun takkan dapat.

Pada mulanya, wanita ini ‘kebingungan’ bagaimana boleh menerima saman tersebut sedangkan dia sama sekali tidak pernah merujuk dengan bekas suaminya malahan, penceraian tersebut sudah pun berlaku setahun yang lalu sehingga dia tamat tempoh iddah (suatu tempoh masa yang perlu dinanti oleh seseorang perempuan yang diceraikan oleh suaminya bagi mengetahui bersih rahimnya daripada mengandung untuk mengharuskan dirinya berkahwin dengan lelaki lain)

Dalam kandungan saman dan pernyataan tuntutan itu, bekas suami mendakwa bahawa telah berlaku rujuk antara mereka berdua sebelum bekas isterinya tamat iddah. Siap ada resit check in hotel ! Siap ada sms melafazkan ruju’ secara Whatsapp! Terbaiklah dia menipu! Siap ada surat akuan sumpah mengatakan telah berlaku rujuk pada hari tersebut dengan rela hati tanpa paksaan di alamat tersebut.

Susulan daripada itu, wanita ini mencari bekas suaminya bagi mendapatkan segala jawapan sebelum hadir ke mahkamah. Pada masa yang sama, dia sempat merayu kepada bekas suaminya supaya tidak menipu di hadapan hakim berikutan perkahwinannya bersama calon pilihan hati akan tiba tak lama lagi.

Siap bawa saksi!

Sekadar gambar hiasan

Tibanya hari kejadian, bekas suaminya datang bagi menjawab segala persoalan-persoalan yang diajukan oleh mahkamah dan turut membawa saksi-saksinya.

Bekas isteri kebingungan daripada mana pula saksi-saksi itu tahu! Bekas isteri mengakui bahawa dirinya tidak tahu akan prosedur dan hukum syarak membuatkan dirinya tiada pilihan lain dan membiarkan sahaja bekas suami bersumpah syarie dengan segala keterangan yang diberikan. Mahkamah sabit kekal sebagai suami isteri & sah rujuk.

Setelah selesai di mahkamah, suaminya tersenyum dan bertepuk tangan sambil berbisik sesuatu kepada isterinya.

Aku sanggup buat apa saja termasuklah bersumpah dalam mahkamah demi mendapatkan semula diri kau! Puas hati aku!

Ujar wanita ini lagi, dia mengaku salah dan telah membuat satu kesilapan yang besar apabila hadir ke mahkamah berseorangan tanpa diwakili oleh mana-mana Peguam Syarie bagi membela dirinya.

Menyesal pun tiada gunanya lagi.

Sumber: Peguam Syarie Amalina Adam

COMMENTS