Akibat peningkatan kes Covid-19 pantai peranginan sepi

Akibat peningkatan kes Covid-19 pantai peranginan sepi

Masjid Tanah: Tidak seperti sebelum ini, pantai peranginan popular Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini sepi tanpa kebanjiran pengunjung akibat peningkatan kes Covid-19.

Sejak dua minggu lalu, hujung minggu di pantai berkenaan tidak lagi dipenuhi dengan deretan kenderaan pengunjung, terutama dari luar Melaka.

Selain itu, warung makanan yang sebelum ini dipenuhi pelanggan, kini kosong dan jika ada pun, hanya memenuhi dua atau tiga meja makan.

Pengunjung dari Putrajaya, Sulaiman Abdul Kadir, 34, berkata dia dan isteri serta dua anaknya mengambil kesempatan cuti hujung minggu hari ini dan esok untuk beriadah di pantai Padang Kemunting.

“Saya pernah dijangkiti virus Covid-19 tahun lalu walaupun sudah lengkap dua dos vaksin dan kali ini saya yakin kalau kena sekali lagi, ia tidak seteruk dahulu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Peniaga warung, Mohd Hanafiah Rustam, 60, berkata, jumlah pelanggan turun sejak kes Covid-19 meningkat dua minggu lalu.

“Lazimnya, setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, warung dipenuhi pelanggan untuk bersarapan dan makan tengah hari tetapi sejak dua minggu lalu, pelanggan boleh dibilang dengan jari.

“Keadaan ini sama seperti situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Jun tahun lalu yang mana pengunjung terutama dari luar Melaka jatuh mendadak,” katanya.

Siti Rahmah Md Kassim, 48, yang berniaga minuman berkata, peningkatan kes Covid-19 menyebabkan warungnya terpaksa ditutup sejak dua minggu lalu.

“Saya dan peniaga lain amat bergantung pada pengunjung hujung minggu manakala hari lain, saya tidak berniaga tetapi apabila kes Covid-19 meningkat, saya terpaksa tutup kedai kerana kalau berniaga pun, tidak balik modal,” katanya.