Akhirnya Nobita berjaya kahwin dengan Shizuka

NAMPAKNYA penangan poster Nobita mengakhiri zaman bujangnya menarik perhatian ramai khususnya peminat rancangan kartun tersebut seluruh dunia.

Masakan tidak, usahawan dan figura terkenal, Neelofa pun turut tweet perkara sama dengan kapsyen “Happy for u Nobita! Like finally!” dan menerima lebih 8,000 ulang kicau.

Ramai teruja apabila Nobita nampaknya berjaya mengahwini Shizuka, gadis yang disukai dari zaman sekolah lagi.

Bahkan ramai yang kata, mereka tidak sabar untuk menonton Stand By Me Doraemon 2 yang dijangka akan disiarkan pada bulan depan.

Kepada pembaca SinarPlus yang pernah menonton filem pertama, Stand By Me yang disiarkan pada tujuh tahun dulu, pasti dapat agak sambungan jalan cerita untuk filem keduakan?

Jika perasan filem pertama, pada minit ke-56, Nobita kecil memberitahu kepada Nobita dewasa yang mana Shizuka setuju dengan pertanyaan iaitu lamarannya, sekali gus menunjukkan beberapa hint mereka akan berkahwin.

Ada juga scene yang mana Nobita keluar minum bersama Dekisuki, Giant dan Suneo sebelum majlis perkahwinannya dan di situ, Dekisuki ada berkongsi kenapa Shizuka tidak memilihnya sebagai pasangan hidup.

Ramai yang mencari kelibat kekasih cinta monyet Shizuka itu dalam poster tersebut. Tidak nampak langsung pemuda yang terkenal dengan kebijaksanaan dalam akademik dan olahraga itu.

Rata-rata berkongsi komen lucu bagi menyedapkan hati. Ada yang kata Dekisuki yang mengambil gambar perkahwinan tersebut, itu sebabnya beliau tiada dalam foto!

Ada yang kata Dekisuki tak sanggup datang ke majlis perkahwinan tersebut dan melihat wanita yang disukai mengahwini Nobita. Aduh! Ada sahaja komen yang diberikan boleh bikin geli hati.

Pun begitu, ada juga komen berkaitan penampilan Suneo yang berubah 360 darjah berbanding zaman kanak-kanak.

Daripada rambut stailo tajam ke depan, kini penampilannya dengan rambut kerinting dan berwarna keemasan.

Tidak kurang juga mengusik Neelofa dengan idea pelik-pelik.

Aduhai komen-komen netizen pun boleh tahan ya? Sedikit sebanyak menceriakan hari-hari muram ketika semua berdepan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ramai yang mengharapkan dapat menonton filem tersebut yang dijangka akan disiarkan pada bulan depan.

Pada masa sama, kita harap kes jangkitan semakin menurun dan bolehlah kita turun ke panggung, kalau ada rezeki. – SP