Ajak pergi majlis hari jadi ‘tak wujud’, Peguam kongsi kisah lelaki 58 tahun rogol kawan anak sendiri

Ajak pergi majlis hari jadi ‘tak wujud’, Peguam kongsi kisah lelaki 58 tahun rogol kawan anak sendiri

Pelbagai cara dilakukan penjenayah seksual untuk memperdaya mangsanya. Tidak mempunyai imej atau identiti spesifik, kejahatan mereka seringkali terlindung di sebalik wajah ‘baik’ seorang ayah, saudara, datuk, jiran ataupun abang sendiri.

Lantaran itu, kelakuan mereka sukar untuk dibongkarkan. Malah, ada mangsa yang terpaksa merahsiakan detik gelap itu sama ada kerana malu, takut, diugut mahupun risau jika keluarga tidak mempercayainya.

Peguam di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, Puan Nor Zabetha baru-baru ini ada berkongsikan kisah seorang remaja yang diperkosa oleh ayah kepada rakannya sendiri. Apa yang lebih keji ialah taktik si pelaku yang menipu ibu mangsa, kononnya dia ingin mengajak mangsa ke majlis hari jadi anaknya yang sebenarnya tidak wujud pun.

Baca kisahnya di bawah.

Jangan mudah percaya

Semalam sewaktu program Analisis di TV Alhijrah, tidak berkesempatan untuk saya kongsikan satu kes rogol terhadap mangsa berusia 13 tahun kerana kesuntukan masa.

Kes ini sangat penting sebagai peringatan kita sebagai ibu bapa, jangan mudah percaya kepada orang lain. Bagaimana kesannya kepada kanak-kanak dan bagaimana mahkamah memandang serius kes rogol ini?

Dalam kes ini, mangsa adalah merupakan kawan kepada anak tertuduh. Mereka berkawan baik dan kenal keluarga masing-masing.

Tertuduh maklumkan bahawa ada majlis hari lahir anaknya dan menjemput mangsa hadir. Tertuduh sendiri yang menghubungi ibu mangsa dan minta kebenaran untuk jemput dan bawa mangsa ke majlis hari jadi anaknya.

Ibu mangsa percaya dan membenarkan. Barangkali kerana hubungan rapat atau mungkin kerana tertuduh ini karakternya boleh dipercayai atau mungkin juga usia tertuduh yang sudah 58 tahun. Saya hendak pesan, berhati-hati kepada semua. Jangan mudah percaya.

Perkosa dan ugut

Tertuduh mengambil mangsa dan dibawa ke rumahnya. Rupa-rupanya tiada langsung majlis hari jadi. Tertuduh merogol mangsa, walaupun mangsa cuba mematahkan serangan tersebut tetapi tidak berjaya.

Mangsa tidak beritahu ibunya kerana tertuduh mengugut untuk mencederakan ibunya. Insiden ini berulang kali kedua, apabila mangsa diperdayakan sekali lagi pada bulan seterusnya.

Tertuduh ambil gambar kemaluan mangsa dan dia ugut sekiranya mangsa memberitahu pihak lain. Tertuduh akan sebarkan gambar kemaluan mangsa di Facebook.

Malangnya untuk gadis ini, dirogol, diugut. Saya bayangkan pasti dia rasa sendirian, tidak boleh mengadu tetapi terus dimangsakan dan diugut oleh tertuduh.

Mangsa kemudian mengandung. Waktu ini yang dia maklumkan kepada ibunya dan mereka membuat laporan polis.

Depresi dan cuba bunuh diri

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Keadaan mangsa semakin teruk, dia mengalami depresi teruk dan telah cuba membunuh diri. Dia dicadangkan oleh pakar untuk mengugurkan kandungannya. Hasil dari pemeriksaan DNA, memang sah fetus itu anak tertuduh.

Di mahkamah Sesyen, tertuduh terus mengaku bersalah dan meminta agar dikurangkan hukumannya. Mahkamah mengambil kira, pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah. Tertuduh juga telah menyesal dan memohon maaf.

Selain itu ini merupakan kesalahan tertuduh yang pertama, mengambil kira bahawa usia tertuduh 58 tahun, seorang pemandu lori yang mempunyai anak seramai 6 orang dan anak bongsu baru berusia 5 tahun.

Mahkamah mempertimbangkan usia lanjut tertuduh dan nasib keluarga tertuduh. Mahkamah telah memutuskan penjara selama 12 tahun dan 2 sebatan.

Mahkamah Sesyen beranggapan ini telah memadai dan kepentingan awam masih terjaga kerana tertuduh diasingkan bagi tempoh yang lama. Tidak berpuas hati dengan keputusan oleh Mahkamah Sesyen ini, pendakwaraya merayu di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan terlalu rendah bagi jenayah yang dilakukan oleh tertuduh.

Mengambil kira terlalu banyak kes rogol bawah umur dan tugas mahkamah melindungi remaja-remaja ini daripada pemangsa seks yang cuba mengambil kesempatan.

Dalam kes in tertuduh telah merancang jenayah rogol ini. Kesannya perbuatan tertuduh telah menyebabkan mangsa cuba membunuh diri dan mendapatkan rawatan psikologi

Malahan pada usia muda, mangsa terpaksa mengugurkan kandungannya. Tertuduh telah mengugut mangsa.

Ini petikan laporan mahkamah “Rape is one of the worst crimes. It is a blatant violation and transgression of human rights and dignity. The innocence and chastity of the victim at a young age was tugged by the respondent’.

Mahkamah berpendapat bahawa tertuduh tidak sesuai berada dalam masyarakat, terutama dikalangan kanak-kanak perempuan. Tertuduh adalah ancaman kepada masyarakat.

Oleh yang demikian, dalam kes PP v. Tamilaran a/l Subramaniam [2020] 1 LNS 1413 ini, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara digantikan dengan hukuman 25 tahun dan 10 sebatan. (Asalnya 12 tahun dan 2 sebatan)

Begitulah dasyatnya jenayah rogol dan mahkamah sangat memandang serius jenayah rogol.

Oleh Nor Zabetha

Sumber: Nor Zabetha