Ahli politik bergelar Datuk didakwa cabul bini orang
Polis sedang menyiasat berhubung seorang ahli politik bergelar Datuk yang didakwa mencabul seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan laporan polis dibuat pada 16 Mac lalu.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan kesan saksi yang terlibat,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Laporan Sinar Harian juga memetik sumber yang mengatakan individu terbabit bersama isterinya dipercayai datang bermalam di rumah mangsa dan suaminya di Taman Melawati antara Julai hingga 15 Ogos 2020.
Suami mangsa dikatakan merupakan kenalan kepada isteri Datuk tersebut.
“Kejadian berlaku antara jam 1 pagi hingga 5 pagi. Mangsa tidur di bilik bersebelahan bilik suspek. Dia kemudiannya tersedar selepas dirinya dicium dan dicabul.
“Pada mulanya mangsa menyangkakan perbuatan itu dilakukan oleh suaminya namun mangsa terkejut apabila mendapati ia dilakukan suspek,” kata Mohamad Farouk.
Tambahnya, mangsa pada awalnya tidak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya dan suami memandangkan suspek mempunyai pistol dan sikap panas baran.
Selain itu, mangsa juga dikatakan mempunyai hutang sebanyak RM200,000 dengan suspek bagi urusan perniagaan. – MK