Ahli parlimen DAP diusir dari parlimen kerana pertahankan Dr Noor Hisham
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, hari ini bertanya mengapa Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak, Tiong King Sing, menyalurkan kemarahannya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut Lim, Ting sepatutnya mengarahkan kemarahan itu kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, yang disifatkannya sebagai gagal berfungsi seperti sepatutnya.
Malah kata veteran DAP itu, dia juga mahu tahu jika Tiong sebenarnya bercakap di Dewan Rakyat hari ini bagi pihak Adham.
“Saya ingin bertanya Tiong, adakah beliau bercakap bagi pihak menteri kesihatan apabila beliau menyerang Noor Hisham di parlimen?
“Mengapakah Tiong tidak mengarahkan kemarahan beliau kepada Adham yang membuktikan reputasinya sebagai seorang menteri kesihatan yang ‘halimunan’ selepas beberapa siri kesilapan seperti isu air suam, 500 negara dan 15 negeri beliau?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Tiong yang juga ahli parlimen Bintulu mengkritik Noor Hisham kerana tidak pergi ke Sabah ketika wabak Covid-19 sekarang.
Malah Tiong yang dilantik Muhyiddin Yassin sebagai duta khas perdana menteri ke China menganggap Noor Hisham sebagai “takut mati” kerana tidak berkunjung di Sabah.
Kenyataan itu kemudian mendorong Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mendesak agar Tiong menarik balik kenyataan berkenaan.
Ia berakhir dengan Rayer diusir dari dewan manakala Tiong kekal tidak menarik balik kenyataannya ke atas Noor Hisham hingga sidang hari ini tamat.
Lim berkata tindakan Tiong menyerang Noor Hisham hari ini bercanggah dengan kehormatannya sebagai ahli parlimen.
“Adakah Tiong membuktikan yang dia ‘tidak takut mati’ apabila pergi ke Sabah dari Bintulu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini?
“Kenyataan Rayer tepat. Tiong patut memohon maaf atas serangan tidak berasas beliau terhadap ketua pengarah kesihatan,” katanya.
Sumber: Malaysiakini