Ahli MT Umno dikuarantin di Sabah kerana disyaki positif covid 19
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, dilaporkan dijangkiti Covid-19 selepas berkempen di Sabah. Ketika dihubungi Malaysiakini, Razlan mengakui spekulasi tersebut.
Bagaimanapun kata Razlan, dia sedang menunggu keputusan ujian lanjut saringannya dan berharap keputusan yang negatif.
“Pertamanya RTK (ujian rapid test kit), sekarang tengah tunggu RT-PCR (polymerase chain reaction).
“Keputusan akan keluar hari ini atau esok,” katanya.
Razlan dilaporkan sedang berkempen di Sipitang sewaktu disahkan positif.
Dia kini dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Sementara itu Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin semalam berkata kes membabitkan Razlan itu hanya kes yang disyaki dan belum disahkan lagi.
“Tetapi dia (Razlan) telah diarahkan untuk dikuarantin 14 hari,” kata Bung kepada pemberita di Tawau.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata RTK yang digunakan kementerian mempunyai kadar ketepatan 85 peratus, dan kadar kekhususan 100 peratus.
“Ini bermaksud dari 100 orang yang diuji, hanya 10 dari mereka mungkin akan mendapat keputusan negatif palsu. Ini kelemahan kit tersebut,” katanya.
Tidak jelas jika RTK boleh mengeluarkan keputusan negatif.
Sumber : Malaysiakini