Ahli keluarga buat helah ajak solat jemaah, warga emas ditinggalkan di Surau

Kononnya mahu dibawa solat berjemaah di surau, seorang warga emas tidak menyangka ajakan ahli keluarganya itu hanyalah helah untuk menghalaunya keluar dari rumah sebelum ditinggalkan bersendirian di sebuah surau di Pulau Indah, Klang.

Maklum mengenai kejadian itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertindak segera membantu warga emas berusia 60-an itu, memandangkan bahaya untuk golongan berusia berkeliaran di luar ketika Selangor mencatat kes tertinggi Covid-19.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi hantaran di Facebook memberitahu warga emas ditemui dalam keadaan yang cukup memilukan dengan kaki yang sakit akibat jangkitan kuman, kelaparan dan keletihan.

Difahamkan, warga emas yang masih belum berkahwin itu dijaga oleh anak saudaranya sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot dan ditinggalkan di surau berkenaan.

“Pilu hati kami ketika beliau berkongsi cerita bagaimana ditinggalkan di sebuah surau. Beliau tidak mempunyai zuriat kerana belum berumahtangga. Sebelum ini, beliau dijaga oleh anak saudaranya.

“Namun sejak kesihatannya yang semakin merosot, ditambah pula dengan suasana yang tidak menentu kerana PKP, ahli keluarga yang menjaganya telah meninggalkan beliau di surau,” tulis zakat Selangor di Facebook.

Turut dimaklumkan, warga emas itu kini telah ditempatkan di rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil, dengan segala kos rawatan dan penjagaan ditanggung sepenuh oleh zakat Selangor. – FMT