Adun Pas Kelantan pertahan kenaikan elaun, baru mudah nak bantu rakyat

Pindaan Rang Undang-undang Saraan Anggota Pentadbiran dan Ahli-ahli Dewan Negeri Pindaan 2020 dikemukakan pada persidangan Dun bertujuan membantu rakyat.

Lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Rang Undang-undang itu dicadang Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah sebagai langkah menghadapi cabaran dalam kalangan anggota pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Katanya, langkah itu juga bagi menyelaraskan elaun Adun di Kelantan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Tugas anggota pentadbiran dan Adun semakin berat kerana ia membawa harapan tinggi daripada rakyat terutamanya ketika berdepan wabak Covid-19.

“Adalah diharap cadangan yang dikemukakan ini boleh mendorong anggota pentadbiran dan Adun bekerja dengan lebih kuat dan gigih,” katanya pada persidangan Dun Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Adun Dabong Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata, kenaikan elaun wakil rakyat yang dilulus pada persidangan Dun sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan Adun.

Katanya, setiap hari ada penduduk yang kesempitan hidup datang menemui wakil rakyat sama ada di Pejabat Pusat Khidmat atau rumah bagi mendapat bantuan kewangan.

“Mereka yang mengkritik sengaja buat-buat tidak faham sehingga ada yang menganggap kerajaan Kelantan tidak cakna ketika rakyat berdepan dengan wabak sekarang,” katanya.

Sumber: Harakah Daily