Achey positif covid-19

Achey positif covid-19

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Achey mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan dijangkiti varian Omicron selepas melakukan ujian PCR dan kini menjalani kuarantin kendiri sehingga 25 Februari ini.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah memaklumkan kesihatannya merosot sejak dua hari lalu dan mula melakukan ujian saringan kesihatan (RTK).

Kesihatan saya mula merosot dua hari lalu yang mana demam mencapai sehingga 39.8 celsius hingga urat-urat di muka mula tarik dan menegang. Saya sudah melakukan ujian saliva sebanyak  tiga kali dan hasil negatif manakala, dua lagi ujian calitan menerusi hidung juga negatif.

“Apabila kesemua hasil ujian negatif, saya ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan. Mereka mengambil darah dan belum dapat mengesahkan apa-apa kerana sudah jam 2 pagi ketika itu.

“Mereka mengambil darah kerana berpendapat saya mungkin dijangkiti denggi atau virus dalam darah. Akhirnya, keputusan ujian PCR mengesahkan saya positif Covid-19 varian Omicron,” katanya kepada Harian Metro.

Achey turut meluahkan kebimbangan terhadap kesihatan isteri, Nur Hasanah Yahaya dan anak perempuannya, Tiara Zinnirah. Menurut Achey, kiraan ‘CT Value’ yang rendah boleh menjangkiti isteri dan anaknya.

Menurut kajian, gejala dialami penghidap varian Omicron lebih singkat iaitu kurang lima hari berbanding varian Delta.

Malah, varian Omicron virus Covid-19 tidak menyebabkan penghidapnya hilang deria bau seperti varian Delta.

Achey yang kini menjalani kuarantin di rumah turut terpaksa membatalkan dua komitmen kerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Buat masa ini saya hanya boleh tawakal dan berserah kepada Allah SWT agar isteri dan anak saya terus sihat walafiat. Antara langkah yang diambil ialah amalkan makan vitamin dan makanan tambahan.

“Mujur rumah ini mempunyai bahagian khas untuk tetamu dan saya menjalani kuarantin di bilik ini. Doktor juga maklumkan agar saya mula kuarantin hari ini sehingga Jumaat depan.

“Apabila dah positif Covid-19 macam ini, saya terpaksa batalkan dua komitmen kerja berkenaan. Ikutkan itu saja rezeki untuk bulan ini, tapi saya percaya rezeki Allah SWT akan datang dari arah lain pula,” katanya.