‘Abang botak’ kena denda RM10,000

Denda RM10,000 ke atas seorang lelaki digelar “Abang Botak” selepas rakaman video dia menghentak cermin depan sebuah kereta menggunakan topi keledar tersebar di media sosial kekal, selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara 12 bulan terhadap Danial Abdullah Tan, 33, dengan denda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mempengerusikan panel tiga hakim kemudiannya membatalkan rayuan itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh memaklumkan pihaknya memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 17 Nov lalu.

Peguam Azura Alias yang mewakili Danial tidak membantah penarikan balik rayuan itu. Turut bersidang dalam prosiding itu ialah dua Hakim Mahkamah Rayuan, Lee Swee Seng dan Supang Lian.

Pada 20 Jan 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan Danial mengetepikan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Mei 2019, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara 12 bulan dengan denda RM10,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Danial membayar denda tersebut.

Dia didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada cermin depan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 60, dengan cara mengetuknya menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, pada 5.30 petang 28 Mei 2019.

Dia dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada Mei 2019, rakaman video perbuatan lelaki itu memecahkan cermin depan kereta yang dirakam mangsa menggunakan “dashcam” tersebar di media sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku selepas lelaki terbabit berang dengan mangsa yang membunyikan hon kereta kerana laluannya dihalang lelaki berkenaan yang menunggang motosikal.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/08/denda-rm10000-ke-atas-abang-botak-hentak-cermin-kekal-selepas-rayuan-ditarik/