9 lelaki dipenjara kerana culas bayar nafkah anak

9 lelaki dipenjara kerana culas bayar nafkah anak

 

Sembilan individu sudah dipenjarakan atas kesalahan gagal melunaskan bayaran tuntutan nafkah seperti yang diperintahkan mahkamah syariah di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Zakri Wan Mohd, berkata sembilan individu terbabit dijatuhkan hukuman sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, tempoh penjara yang dikenakan kepada sembilan individu terbabit mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Katanya, mahkamah syariah tidak memandang ringan mengenai kesalahan itu dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah.

“Antara yang dikelola oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Mahkamah Syariah Terengganu iaitu Dana Pendahuluan Nafkah Anak (DPNA) yang mana golongan yang mempunyai kes tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah.

“Bagi agihan kali ini sebanyak RM44,500 peruntukan disediakan kepada 21 penerima” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 2 Tahun 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim.

Menurutnya, statistik pendaftaran penceraian sepanjang lima tahun kebelakangan ini iaitu pada 2019 (4,589 kes), 2020 (4,129 kes), 2021 (3,360 kes), 2022 (4,593 kes) dan tahun ini sebanyak 4,373 kes menjadikan jumlah keseluruhan untuk lima tahun adalah 21,044 kes.

Katanya, statistik pendaftaran kes tuntutan nafkah anak bagi tempoh lima tahun pula adalah 2019 (287 kes), 2020 (275 kes), 2021 (155 kes), 2022 (275 kes) dan sebanyak 236 kes setakat ini untuk kes tuntutan dilakukan pada tahun ini.

Beliau berkata, statistik kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang difailkan oleh BSK pula adalah 135 kes pada 2019, 2020 (95 kes) 2021 (46 kes), 2022 (73 kes) dan 2023 (61 kes).