7 warga asing ditahan kes penemuan mayat pemandu grab dalam but kereta

7 warga asing ditahan kes penemuan mayat pemandu grab dalam but kereta

Polis memberkas tujuh individu warga asing yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat pemandu grab dengan kaki terikat dalam but kereta di Jalan Tugu, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 hingga 24 tahun itu ditahan pada pukul 12.45 tengah hari.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, pihak polis sekali lagi melakukan serbuan pada pukul 4 petang dan menangkap dua lagi warga asing terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia 26 dan 22 tahun.

“Kesemua tangkapan ini akan dipohon reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, setakat ini pihak polis masih melakukan siasatan berhubung motif dan punca kejadian.

Terdahulu, seorang lelaki dipercayai pemandu grab dijumpai mati dengan kaki diikat dengan kain serta cedera pada bahagian muka dan telinga di dalam but kereta di Jalan Tugu, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, dua anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi telah mengesan sebuah kereta Perodua Bezza di bulatan Hishammuddin, berhampiran Bank Negara, di sini yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

MPV tersebut segera mengejar kereta berkenaan sebelum pemandunya memberhentikan kereta di tepi jalan berhampiran Bangunan Majlis Perubatan Malaysia, Jalan Tugu, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, empat penumpang termasuk seorang wanita kemudian melarikan diri ke arah landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Jalan Tugu.