4 maut, 12 cedera nahas 4 kenderaan di LPT1

4 maut, 12 cedera nahas 4 kenderaan di LPT1

Empat individu maut, manakala 13 lagi individu terselamat dengan 12 daripadanya mengalami kecederaan dalam kemalangan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Kuantan, dekat sini, awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 3.26 pagi tadi.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu lori kontena, lori kren, kereta Proton Waja dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.

“Dalam kemalangan itu, dua lelaki dan masing-masing seorang lelaki warga emas serta seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulfadli berkata, enam kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, seorang lelaki serta tiga wanita pula dilaporkan cedera, manakala seorang lagi lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tiga daripada empat individu yang meninggal dunia menaiki Proton Exora, manakala lapan lagi individu menaiki kenderaan sama dilaporkan cedera.

“Seorang individu yang menaiki lori kren penunda juga dilaporkan cedera serta empat individu yang menaiki kereta Proton Waja, manakala individu yang menaiki lori kontena dilaporkan selamat,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori kontena merempuh lori kren penunda yang menunda Proton Exora yang rosak selain merempuh kereta Proton Waja berhenti di tepi lebuh raya.

Katanya, rempuhan itu menyebabkan Proton Exora berkenaan terhumban ke dalam gaung sedalam lebih 12 meter.

“Anggota bomba bertugas membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Proton Exora, lori kren penunda dan Proton Waja.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya 6.38 pagi tadi.