34 tahun terpisah, akhirnya Tiz Zaqyah bertemu abang kandung

34 tahun terpisah, akhirnya Tiz Zaqyah bertemu abang kandung

 

Pelakon cantik, Tiz Zaqyah meluahkan rasa gembira apabila Ramadan kali ini dia akhirnya berpeluang bertemu dengan abang kandungnya.

Menerusi perkongsian hantaran di Instagram milik pelakon Nur itu, mereka sebelum ini terpisah selama 34 tahun.

“Saya memang selalu mengharapkan ada abang. Keajaiban, hajat saya tertunai. Ramadan paling indah.

“Kami berjumpa pada Isnin lalu. 34 tahun sepanjang hidup saya, hello abang Zacky dan kakak ipar saya yang cantik dan anak-anak buah!!

“Momen yang sangat beremosi. Alhamdulillah, akhirnya disatukan, permudahkanlah perjalanan kami sekeluarga,” luahnya.

Meninjau ruangan komen hantaran itu, abangnya turut melayangkan rasa syukur.

“Syukur dapat jumpa Tiz. Semoga dapat berjumpa dengan ayah kita pula! Minggu yang sangat menyentuh perasaan,” komen abang Tiz.

Serentak dengan perkongsian tersebut, majoriti rakan-rakan artis membanjiri ruangan komen dengan ucapan positif. Antara rakan artis tersebut seperti Yasmin Hani, Alif Satar, Zain Hamid dan ramai lagi.