32 mangsa terperangkap, 2 kereta dihanyutkan kepala air

32 mangsa terperangkap, 2 kereta dihanyutkan kepala air

Seramai 32 pengunjung yang berkelah di Lata Ulu Kasar, Setiu berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air petang tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 petang itu turut menyebabkan dua kereta, iaitu kereta Perodua Aruz dan Proton Savvy hanyut dibawa arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu Mohd Razli Rapaie berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 5.30 petang sebelum 17 anggota daripada BBP Setiu dan BBP Kuala Nerus ke lokasi bersama dua jentera, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati ada kenderaan yang dihanyutkan arus.

“Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan seramai 32 mangsa termasuk 13 kanak-kanak selamat.

“Kesemua mangsa dihantar ke Masjid Merbau Menyusut oleh pasukan bomba dan orang awam,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial pengunjung berdepan detik cemas selain enam kereta hampir tenggelam dalam kejadian kepala air di kawasan Lata Ulu Kasar, Setiu.