30 terbunuh termasuk kanak-kanak dalam tembakan di pusat jagaan

30 terbunuh termasuk kanak-kanak dalam tembakan di pusat jagaan

Sekurang-kurang 30 orang termasuk 23 kanak-kanak dilaporkan maut dalam serangan berdarah di sebuah pra-sekolah di Thailand pada Khamis, 6 Oktober 2022.

Memetik AFP, seorang bekas pegawai polis bersenjata pistol dan juga pisau telah menyerang sebuah taska di timur laut Thailand dan menembak mati sekurang-kurangnya 30 orang termasuk kanak-kanak sebelum membunuh diri dan keluarganya.

Kanak-kanak yang maut berumur dalam lingkungan dua hingga tiga tahun.

Suspek yang menggunakan senjata senapang patah, pistol dan pisau itu telah melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak itu di Wilayah Nong Bua Lam Phu kira-kira 12.30 tengahari (waktu tempatan) sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan.

Anggota polis wilayah itu, Jakkapat Vijitraithaya berkata, anggota polis itu diberhentikan pada tahun lepas selepas dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Difahamkan, tragedi berdarah ini berlaku sebulan selepas seorang pegawai tentera menembak mati dua orang rakan sekerjanya di pangkalan tentera di Bangkok.

Pada tahun 2020 pula, salah satu insiden berdarah juga telah dilaporkan melibat seorang askar yang bertindak melepaskan tembakan selama 17 jam sebelum dia ditembak mati oleh seorang komando. Tragedi itu telah menyebabkan 29 individu maut ditembak. Tragedi itu dipercayai berkait rapat dengan perbalahan soal hutang.

Menurut AFP, walaupun Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata yang agak tinggi, serangan secara besar-besaran amat jarang berlaku.

 

Sumber: AFP