3 lelaki ulang-alik punggah & curi simen

3 lelaki ulang-alik punggah & curi simen

Pemilik kedai menjual perkakasan di Kampung Parit Limbat, Pasir Tumboh di sini, terkejut mendapati 10 beg simen di hadapan premisnya hilang.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dibuat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua simen itu dilarikan tiga lelaki pada 5 pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kehilangan beg simen itu disedari pemilik kedai yang berusia 25 tahun pada 7 pagi tadi ketika mahu membuka premisnya itu.

“Daripada rakaman CCTV, dapat dilihat tiga lelaki berulang-alik memunggah 10 beg simen di hadapan kedai ke dalam kereta jenis Proton Saga .

“Tempat kejadian adalah premis perniagaan barangan perkakasan dan simen yang hilang ditempatkan di luar bangunan kedai iaitu berhampiran dengan jalan raya.

“Kerugian yang dialami pemilik kedai dianggarkan berjumlah RM185 dan laporan dibuat di Balai Polis Kubang Kerian pada tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, usaha mengesan tiga lelaki itu sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Rakaman CCTV mengesan kelibat tiga lelaki memunggah beg simen di sebuah kedai perkakasan di Pasir Tumboh, Kota Bharu pagi hari ini. Foto Ihsan Pembaca