23 hotel gulung tikar, ramai yang hilang kerja

Larangan rentas daerah dan negeri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 menyebabkan 23 hotel gulung tikar di pulau peranginan ini.

Daripada jumlah itu, lapan hotel bertaraf tiga bintang ke atas, manakala selebihnya membabitkan hotel bajet dan inap desa.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata, penutupan operasi hotel tidak dapat dielakkan berikutan tiada kehadiran pelancong.

“Keseluruhannya ada 37 hotel di Langkawi berpayung di bawah MAH dan lapan daripadanya terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi.

“Mungkin jumlahnya lebih sebab beberapa hotel yang turut berbuat demikian belum memaklumkan perkara itu secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani memorandum mengandungi lima perkara mendesak Perdana Menteri campur tangan bagi menyelamatkan industri pelancongan di Langkawi.

Memorandum itu ditandatangani oleh wakil 24 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili sektor perhotelan, perniagaan runcit dan bebas cukai, produk pelancongan serta pengangkutan, di sini, hari ini.

Antara lain memorandum itu mahu kerajaan mengizinkan pergerakan pelancong dari zon hijau ke Langkawi dan subsidi penginapan hotel.

Selain, memohon kerajaan melanjutkan pemberian moratorium sehingga 31 Disember ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Langkawi Datuk Noorazly Rosly berkata, pemilik hotel bajet yang beroperasi sendiri masih mampu bertahan ketika ini.

“Ini kerana tugas pembersihan, mengemas bilik dan operasi hotel dilakukan sendiri oleh ahli keluarga tanpa perlu mengupah pekerja.

“Jika larangan rentas negeri diteruskan, ramai pengusaha hotel bajet terpaksa mengalah dan beralih ke bidang lain untuk meneruskan hidup,” katanya. – HM