2 TPM, 25 Ahli Kabinet angkat sumpah jawatan Menteri

2 TPM, 25 Ahli Kabinet angkat sumpah jawatan Menteri

Dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis itu. Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kesemua Jemaah Menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Menteri-menteri itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman pembentukan Kabinet baharu malam tadi oleh Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

Pada majlis itu, menteri-menteri itu dibahagikan kepada enam kumpulan dengan kumpulan pertama dimulakan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Kumpulan kedua terdiri daripada lima orang menteri iaitu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang kembali memegang porfolio Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

Turut berada dalam kumpulan itu ialah Ahli Parlimen yang pertama kali dilantik ke Kabinet iaitu Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan) dan Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan)

Kumpulan ketiga diketuai Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri) diikuti Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya); Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi) dan anggota Kabinet muka baharu, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi).

Kumpulan seterusnya terdiri daripada Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) yang masing-masing kali pertama menyertai Kabinet kemudian mengambil giliran.

Sementara itu, kumpulan kelima terdiri daripada Senator Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Luar Negeri; Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Menteri Komunikasi Digital).

Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Anak Dagang (Menteri Perpaduan Negara) turut mengangkat sumpah jawatan.

Kumpulan terakhir mengangkat sumpah jawatan melibatkan Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Menteri Agama; Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh Tseow Suan (Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Batu Gajah V.N. Sivakumar (Menteri Sumber Manusia).

Turut serta dalam kumpulan itu, ialah Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) dan Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Jemaah menteri Kerajaan Perpaduan dijadualkan menghadiri mesyuarat khas Isnin ini di Putrajaya untuk penetapan peraturan-peraturan baharu dalam pertadbiran sebelum memulakan tugas secara rasmi di kementerian masing-masing.

Sumber: BERNAMA