2 lelaki Myanmar ditahan, suspek rogol OKU bisu dan pekak

Seorang gadis kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak dipercayai menjadi mangsa rogol dua lelaki warga Myanmar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah kongsi di Ajil, Hulu Terengganu tidak jauh dari rumah mangsa yang berusia 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata perbuatan suspek itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis kira-kira jam 7.30 malam Khamis.
Susulan itu pihaknya telah menahan kedua-dua suspek tersebut kira-kira jam 11 malam hari yang sama di sekitar Ajil.
“Polis telah membuat tangkapan dua orang suspek lelaki Myanmar berumur awal 20an dan seorang lagi 30 tahun.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” kata Mohd Adli.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu merupakan kali pertama berlaku.
Mohd Adli berkata kedua suspek telah ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
Sumber: Astro Awani