11 sample ‘baby nenas’ dikesan mengandungi siklamat

11 sample ‘baby nenas’ dikesan mengandungi siklamat

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengadukkan atau menjual buah ‘baby nanas’ yang terdapat siklamat.

KKM dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 115 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa dengan 11 daripadanya mengandungi siklamat yang telah disabitkan kesalahan dengan denda RM8,500.

Katanya, siklamat merupakan bahan pemanis tanpa zat dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah meningkatkan pemantauan ke atas buah nanas yang mengandungi bahan itu.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Norrani Eksan berkata, bermula tahun lalu, pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) dijalankan ke atas nanas kecil (kulit berkupas) yang diimport masuk ke dalam negara.

“Sehingga kini sebanyak 115 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter dengan 11 sampel didapati mengandungi siklamat dan telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM 8,500.

“Pemantauan akan diteruskan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, siklamat merupakan sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30 hingga 50 kali lebih daripada gula sukrosa.

“Menurut Codex General Standard for Food Additives (GSFA), siklamat adalah dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, marmalad, produk koko dan hasilan coklat termasuk sapuan koko juga coklat sebatian serta minuman berperisa.

“Namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut tidak membenarkan penambahan siklamat pada buah-buahan segar,” katanya.

Selain itu, katanya, BKKM turut bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata, Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya.

Justeru, individu yang didapati melanggar peruntukan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. -KOSMO! ONLINE