Pejam celik, rupanya sudah 10 tahun pelakon  Raysha Rizrose menjalin hubungan cinta dengan kekasihnya, Nabil Jeffri yang juga pelumba kereta Formula 3.

Memetik Media Hiburan, Raysha berkata mereka kenal sejak di bangku sekolah lagi dan pernah putus selama empat bulan, namun kekasihnya itu berjaya memujuknya.

“Kami mengenali sejak di bangku persekolahan lagi. Kemudian, kami jalin hubungan jarak jauh, masing-masing ada komitmen masing-masing. Sedar-sedar sudah 10 tahun. Cepat masa berlaku,”katanya.

Disoal mengenai soal perkahwinan, Raysha berkata kekasihnya sudah bersedia dan pernah bertanya pada dirinya, namun dia memerlukan sedikit masa lagi.

“Semuanya bergantung kepada saya kerana dia (Nabil) sudah bersedia untuk kami melangkah ke fasa perkahwinan. Cuma, saya yang perlukan masa lagi dan tak mahu terburu-buru membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, aktres cantik itu tidak tertekan apabila ada yang bertanyakan mengenai perkara itu serta mengakui hatinya terdetik untuk berumah tangga dan perasaan itu datang sendiri.

“Sebelum ini,  ada yang bertanya mengenai perkara itu, ia tak pernah buat saya tertekan. Sebab saya percaya, bila diri sudah bersedia fasa itu akan tiba juga.

“Kini, saya rasa detik itu sudah sampai, rasa tiba-tiba macam saya dah 26 tahun. Alhamdulillah, dah capai apa yang saya mahukan, kakak semua sudah pun berkahwin. Jadi, inilah masanya untuk saya ‘move on’ dengan hidup,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai majlis perkahwinan impiannya, Raysha berkata dia sama seperti wanita lain mahu merasai proses merisik, bertunang dan seterusnya majlis perkahwinan.